KETUA pasukan bola sepak Malaysia, Syafiq Rahim (kiri) bersalaman dengan ketua pasukan bola sepak Taiwan, Chen Yu Lin pada sidang akhbar perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Wisma FAM, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Osman Adnan |
Kami sudah sedia kekang Taiwan: Safiq
"KAMI sudah bersedia dari segi mental dan fizikal!"
Itu keyakinan dilaungkan kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim menjelang pertemuan getir menentang Taiwan dalam pusingan pertama, kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.“Selama tujuh bulan lalu kami sekadar beraksi dalam perlawanan persahabatan dan ini peluang terbaik membuktikan kemampuan kami selepas kali terakhir menjulang Piala AFF Suzuki Disember, tahun lalu,” kata tonggak skuad Harimau Malaya itu.
“Sasaran kami adalah untuk pergi sejauh mungkin dalam pusingan kelayakan ini dan mengekal rekod tanpa kalah sepanjang tahun ini. Memang kami tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan sebenar pertama selepas kejohanan peringkat Asia Tenggara tahun lalu.”
Ketua pasukan Taiwan, Chen Yu Lian pula mengharapkan perlawanan nanti menjadi yang terbaik untuk mereka selepas gigih berlatih sekian lama.
“Misi kami ke Kuala Lumpur adalah untuk membawa pulang tiga mata sebelum membuat penentuan di laman sendiri Ahad ini,” kata bek kiri pasukan.
Safiq juga berharap beberapa pemain skuad Olimpik yang turut mengisi skuad senior untuk pusingan kelayakan ini dapat mengulangi persembahan cemerlang seperti ketika menewaskan Lubnan 23 Jun lalu.
“Saya dan rakan sepasukan berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk terus meletak negara di landasan kemenangan,” kata Safiq.
“Semangat kami cukup tinggi terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri.
“Kemenangan esok (malam ini) pasti memberi nafas baru baru buat bola sepak negara, terutama selepas skuad Olimpik turut cemerlang melakar kejayaan ke peringkat kelayakan terakhir.
“Kami akan cuba mencari bekal selesa sebelum bertandang ke Taiwan untuk perlawanan kedua Ahad ini.”
No comments:
Post a Comment