Wednesday, June 29, 2011

'Kami sudah sedia galas cabaran'

Saya harap pemain guna kelebihan gelanggang sendiri rakam kemenangan: Rajagobal 

SELEPAS tujuh bulan berpayung di bawah kejayaan Piala AFF Suzuki 2010, skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal berdepan cabaran sebenar pertama tahun ini apabila turun menentang Taiwan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Berbekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang tahun ini, skuad kebangsaan dilihat mampu mengumpul bekal selesa di laman sendiri sebelum bertandang ke Taiwan untuk perlawanan timbal balik, Ahad ini.
“Fokus utama saya adalah memastikan pemain memberi persembahan terbaik,” kata Rajagobal pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam. 

“Jika bermain baik, baru kita boleh menang. Saya tidak meletakkan sasaran seperti berapa kita mesti menang, yang penting ialah mempersembahkan permainan terbaik. 1-0 juga kemenangan, jadi jumlahnya bukan satu kepentingan.” 

Rajagobal juga tidak sabar menilai aksi anak buahnya dalam pertandingan sebenar selepas kejayaan di Piala AFF Suzuki Disember tahun lalu, dengan pertemuan dengan Taiwan akan menentukan hala tuju skuad kebangsaan selepas ini. 

“Saya sentiasa optimis dengan kemampuan pasukan,” kata Rajagobal yang menjadi pencetus kejayaan negara dalam saingan Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010. 
“Apapun yang terjadi, kita akan menilai semula pemain dari satu perlawanan ke satu perlawanan. 

“Saya faham harapan tinggi diletakkan peminat terutama selepas kejayaan skuad Olimpik negara melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012, tetapi ingin saya tegaskan di sini, kami sudah mula mempersiapkan diri sejak Piala AFF Suzuki lagi. 

“Kami sudah bersedia untuk perlawanan esok (malam ini) dan saya harap pemain akan menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk merakam kemenangan. 
Sokongan padu peminat tempatan pastinya akan mencetus semangat buat mereka.” 

Rajagobal menamakan hampir semua pemain Piala AFF tahun lalu dan memanggil semula beberapa pemain yang ketinggalan sebelum ini akibat kecederaan, antaranya Baddrol Bakhtiar dan Aidil Zafuan Abd Razak. 

Kehadiran penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya juga memberi lebih pilihan di barisan depan selain dua peledak utama, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali yang kini melakar nama di Liga Super Indonesia bersama Pelita Jaya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...