Sunday, June 19, 2011

Kami bersemangat: Fahmi

DUA kekalahan berturut-turut di tangan Kemboja (0-1) dan Qatar (0-4) pada perlawanan persahabatan baru-baru ini masih menyuntik semangat Skuad Olimpik negara menjelang pertemuan kelayakan Olimpik menentang Lubnan malam ini. 

Ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat berkata, mereka sedar tugas kali ini amat sukar namun berjanji mahu memberikan aksi terbaik selain mahu mencari bekalan selesa untuk dibawa pada pertemuan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, 23 Jun ini. 

“Selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut, kami lebih bersemangat untuk menentang Lubnan. 

“Banyak perkara yang kami pelajari malah moral pasukan semakin melonjak dan tidak akan mengulangi kesilapan sama malam ini,” katanya. 

Fahmi yang juga merupakan penjaga gol utama Kelantan berkata, peluang untuk melakukan kejutan ke atas Lubnan tetap ada walaupun sedar misi di Beirut lebih mencabar dan agak sukar. 

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, yang penting kami bermain seperti biasa dan tidak memberi ruang kepada pemain lawan,” katanya. 

Anak buah Ong Kim Swee layak ke pusingan kedua selepas mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0, Mac lalu sementara Lubnan mendapat bye di pusingan awal berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Arab Saudi, Uzbekistan, Syria, Qatar, Bahrain, Iraq, Jepun, China, Korea Selatan, Korea Utara, Australia dan Vietnam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...