PEMAIN-pemain Malaysia memberi penghormatan kepada penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi selepas mengalahkan Lebanon 2-1 pada pertemuan kedua Kelayakan Olimpik 2012. - BERNAMA |
KUALA LUMPUR - Jurulatih Skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee semakin yakin memasang cita-cita yang lebih besar dengan melihat anak buahnya mencipta kejutan pula dalam saingan kumpulan Kelayakan Olimpik 2012 ekoran persembahan cemerlang mengatasi Lebanon 2-1, semalam.
Katanya, ia diperkukuhkan dengan komitmen dan semangat juang tinggi anak buahnya terutama dalam babak kedua perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil apabila terpaksa bermain dengan 10 orang selama 40 minit.
"Jika aksi sebegini dipaparkan lagi pada pusingan seterusnya, saya percaya pasukan kita mampu mencipta kejutan walaupun mungkin diundi sekumpulan dengan lawan seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.
"Saya juga tidak berfikiran negatif walaupun Lebanon merapatkan jurang gol, malah jika mengikut jangkaan saya, kita sebenarnya mampu beroleh sehingga empat gol.
"Gary Steven Robbat (dibuang padang pada minit ke-51) baru berusia 19 tahun dan dalam perlawanan antarabangsa sebegini, dia memang cenderung untuk melakukan kesilapan.
"Namun, ia satu pengajaran buatnya dan seluruh pasukan di mana anda akan dihukum atas kesilapan sebegitu," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan yang dimenangi Malaysia dengan agregat 2-1 selepas terikat 0-0, Ahad lalu.
Mengenai percaturan yang meletakkan penyerang, Izzaq Faris Ramlan di bangku simpanan dan Syahrul Azwari Ibrahim, katanya: "Tidak bererti apabila penyerang gagal menjaringkan gol, kita sudah gagal apatah lagi dengan kita beroleh dua gol awal menerusi pemain tengah.
"Kedua-duanya mempunyai ciri dan kualiti yang berbeza. Syahrul lebih pantas dan Izzaq mempunyai ketinggian tetapi yang lebih penting juga ialah barisan pertahanan mampu dibantu semua orang apabila diasak lawan."
Kim Swee turut berterima kasih kepada pengurusan pasukan kerana membenarkannya berkunjung ke Asia Barat untuk mengintip kekuatan Lebanon pada perlawanan persahabatan menentang Turki menjelang kelayakan.
"Selama dua hingga tiga bulan saya melakukan persediaan bagi kelayakan ini dan ia ternyata berbaloi, malah persahabatan dengan Kemboja dan Qatar apabila kalah, ia masih memberikan petunjuk yang membantu pasukan.
"Saya sudah masak dengan tipu helah pasukan dari Asia Barat yang kadangkala sengaja tidak menunjukkan semangat permainan bersih walaupun ketika pemain kita tercedera. Mereka akan berbuat apa sahaja untuk menang."
No comments:
Post a Comment