Wednesday, June 22, 2011

Awas jerat Lubnan

JURULATIH skuad Olimpik Lubnan, Samir Saad bersedia memerangkap Malaysia pada perlawanan penentuan pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, anak buahnya tidak gentar berdepan skuad kendalian Ong Kim Swee biarpun mereka tidak memiliki sebarang kelebihan selepas mencatat keputusan seri 0-0 pada perlawanan pertama di Beirut, Ahad lalu.

“Malaysia bermain sangat tersusun pada perlawanan pertama dan mereka berjaya bertahan dengan baik. Tapi kali ini mereka pasti akan bermain dengan corak permainan lebih terbuka dan daripada situlah kami akan mendapat peluang,” katanya yang ditemui di Beirut sebelum ini.

Samir yang tiba bersama skuadnya di Kuala Lumpur semalam berkata, tidak ada perubahan drastik yang akan dilakukan ke atas barisan kesebelasan utamanya sebaliknya hanya menuntut pemain sedia ada memberikan persembahan lebih baik kali ini.

“Semua pemain utama saya beraksi pada perlawanan pertama, saya tidak ada pemain lain. 

Sekarang terpulang kepada pasukan saya untuk meningkatkan prestasi jika mahu mendapat keputusan baik pada perlawanan kedua di Malaysia.

“Kami akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi perlawanan di Malaysia, kami akan bermain sama seperti kami bermain di sini (Beirut), siapa yang mendapat gol akan menang di Malaysia,” kata bekas jurulatih Safa Beirut Sporting Club itu.

Sementara itu, beliau lebih awal lagi menjangkakan anak buahnya bakal berdepan senario berbeza apabila turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali pertama.

“Kami akan bermain di depan penyokong Malaysia, saya sedar mereka mempunyai penyokong kuat, tidak seperti kami,” kata Samir.

Pada perlawanan pertama, Lubnan seperti beraksi di gelanggang luar kerana tidak sampai 50 penyokong mereka menyaksikan perlawanan di Stadium Camille Chamoun Sports City yang memiliki kapasiti lebih 47,000 penonton.

Sebaliknya hanya sorakan lebih 200 penyokong Malaysia, kebanyakan anggota tentera Malbatt dan Malcon bertugas menjaga keamanan di sekitar Lubnan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...