Wednesday, June 22, 2011

‘Semangat 1980’ jadi pendorong

Skuad Kim Swee tekad kembalikan aura kegemilangan bola sepak negara

‘SEMANGAT 1980’ bakal meniup api cabaran pemain Harimau Muda Malaysia apabila turun ke gelanggang menentang Lubnan dalam perlawanan pusingan kedua pra-Olimpik, esok buat melakar episod baru bola sepak tanah air. 

Pada tahun berkenaan skuad negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow buat kemunculan kali kedua di temasya berkenaan selepas kejayaan 1972 dan jejak langkah sama tampak ghairah mahu diikuti pemain pimpinan Ong Kim Swee.
Ketua jurulatih berkenaan menyuarakan betapa anak didiknya pasti ingin melakar sejarah mara ke pusingan ketiga untuk menghidupkan kembali aura zaman kegemilangan bola sepak negara yang hilang hampir 31 tahun itu.


“Pada saya mereka tentu mahu mencipta sejarah tetapi harus diingat kita masih mempunyai satu lagi halangan dan pemain perlu menumpukan sepenuh perhatian pada perlawanan timbal balik Khamis ini (esok) sebelum memikirkan untuk mara ke pusingan ketiga,” katanya yang juga mungkin merombak strategi permainan untuk membolosi gawang gol Lubnan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. 

“Apa yang paling penting disiplin pemain perlu dijaga kerana walaupun kita menyerang, pada masa yang sama kita juga perlu bertahan. Ia perancangan penting yang saya akan buat pada latihan sebelum perlawanan bermula,” katanya. 

Begitupun Kim Swee tidak mahu memandang rendah kemampuan Lubnan kendalian Samir Saad yang pasti meletakkan sasaran mahu mencari ilham ‘mengaibkan’ pasukan tuan rumah di hadapan ribuan penyokong sendiri. 

“Pada perlawanan nanti saya percaya mereka juga akan menukar strategi permainan dan mengatur serangan.” 
Skuad negara layak kali terakhir ke Sukan Olimpik pada 1980 namun Malaysia memboikot temasya berkenaan kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...