Tuesday, June 21, 2011

Usah dabik dada lagi: Kim Swee

Misi di Lubnan sudah disempurnakan tetapi perjalanan kita belum selesai

BOLEH gembira tapi usah mendabik dada lagi! Itulah teguran keras Ong Kim Swee kepada anak didiknya selepas skuad Harimau Muda seri 0-0 menentang Lubnan dalam saingan kelayakan Olimpik di Beirut, kelmarin. 

Pada firasat ketua jurulatih skuad pelapis negara itu, walaupun sasaran sudah dicapai tetapi menganggap misi belum selesai dan baki 90 minit bakal menentukan hala tuju pasukan andai dapat layak ke pusingan ketiga.
“Misi kita di Lubnan sudah disempurnakan tetapi perjalanan kita belum selesai kerana masih ada perlawanan di Kuala Lumpur yang perlu berakhir dengan kemenangan,” kata Kim Swee pada sidang akhbar selepas perlawanan.


Malaysia akan menentang Lubnan dalam perlawanan kedua, pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini. 

“Pemain menurut semua arahan diberi dan hampir pulang dengan kemenangan, tetapi kita gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan. Saya yakin perlawanan di Kuala Lumpur nanti lebih sengit.” 

Pada perlawanan kelmarin, Kim Swee mengarahkan anak buahnya yang diketuai penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat mengelak daripada dibolosi dan pulang membawa bekalan sekurang-kurangnya seri. Bagaimanapun skuad negara hampir mencatat kemenangan pada babak kedua permainan apabila beberapa peluang keemasan dicipta. 

Antara peluang gol terbaik ialah percubaan solo penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim yang melepasi benteng pertahanan Lubnan sebelum tendangannya dipintas dari belakang oleh bek ketika hanya berdepan penjaga gol dalam kotak penalti. 

“Saya gembira dengan keputusan di sini yang boleh dianggap baik, tetapi kita tidak boleh mendabik dada kerana tumpuan kini pada perlawanan timbal balik Khamis ini,” kata Kim Swee yang kemampuannya diragui sesetengah pihak hanya kerana keputusan dua perlawanan persahabatan. 

“Soal kritikan kita ketepikan dulu, apa yang penting melepasi pusingan kedua. Saya harap pemain akan meneruskan rentak baik ini dan layak ke pusingan ketiga.” 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...