Thursday, June 23, 2011

Kapten skuad Olimpik Lubnan meluap-luap

PERTEMBUNGAN dengan Malaysia pada aksi kedua kelayakan Olimpik London 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini cukup besar maknanya buat Lubnan.
Ia bukan semata-mata untuk memburu tiket beraksi di temasya sukan terbesar itu buat kali pertama tapi juga menjadi pentas terbaik untuk mereka membuktikan betapa bola sepak yang sudah dianggap sudah tidak bernyawa di negara itu sebenarnya masih memiliki sinar.

Menurut kapten skuad Olimpik Lubnan, Omar Ouaida, semangat pemain begitu berkobar-kobar untuk membuktikan kepada lebih empat juta penduduk bahawa mereka adalah harapan kepada kebangkitan bola sepak negara yang sedang bergelut untuk pulih daripada kesan peperangan.

“Kami sangat bersemangat dan memiliki keyakinan tinggi untuk menewaskan Malaysia esok (hari ini) kerana kemenangan itu akan membuktikan kepada pihak persatuan (Persatuan Bola Sepak Lubnan) dan rakyat, bola sepak di Lubnan masih wujud.

“Kami perlu melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini kerana kalau berjaya menewaskan Malaysia, kami akan mempunyai program lagi selepas ini tapi kalau tewas, kami akan pulang ke tanah air dan hanya menunggu saingan liga bermula,” katanya yang ditemui Arena Metro di hotel penginapan di Seri Kembangan semalam.

Lubnan yang satu ketika dulu pernah menduduki ranking ke-85 Fifa pada 1998 kini terperosok di tangga ke-178. Kemerosotan itu dikatakan berpunca daripada peperangan yang melanda serta ketidakstabilan politik yang sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya.

Malah arahan kerajaan Lubnan tidak membenarkan penonton hadir ke stadium bagi mengelakkan pergaduhan menyebabkan rakyat mereka mula dingin dengan bola sepak sebaliknya lebih berminat kepada bola keranjang yang kini menjadi sukan nombor satu.

Omar yang beraksi dengan salah satu kelab terkenal di Lubnan, Safa Sporting Club berkata, skuadnya tidak gentar untuk berdepan Malaysia yang bakal mendapat sokongan ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...