HASRAT skuad bola sepak kebangsaan untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menjelang aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada 29 Jun depan tidak kesampaian.
Tiga negara menolak pelawaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Maldives, Macau dan Laos manakala Filipina tidak memberi sebarang jawapan.
Sebagai ganti, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal terpaksa mengadakan perlawanan simulasi membabitkan semua pelatih skuad kebangsaan pada Jumaat ini bagi memastikan para pemainnya tetap mendapat suasana perlawanan.
"Kita sudah cuba yang terbaik tetapi gagal mendapatkan mana-mana pasukan. Kita akan berlawan sesama sendiri kerana hanya itu saja cara untuk memberikan satu aksi kompetitif kepada para pemain menjelang pertemuan dengan Taiwan.
"Untuk bertemu pasukan Liga Super, sesuatu yang sukar kerana semua pasukan tengah berehat ketika ini manakala untuk bertemu skuad Olimpik, saya akan fikirkannya kerana mereka akan menentang Lebanon pada Khamis ini.
"Memang kita perlukan perlawanan kerana jika tidak, para pemain sukar mendapat momentum jika hanya menjalani latihan," katanya ketika ditemui Kosmo! di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Pada sesi latihan itu, lima pemain yang mengalami kecederaan sekadar menjalani latihan ringan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Radzak, S. Chanthuru, Shahrizal Saad dan Syed Adney Syed Hussein.
Baki 19 pemain lain menjalani latihan penuh termasuk dua penjaga gol yang baru dipanggil Rajagobal iaitu Nasril Nourdin (Perak) dan K. Sasikumar (Harimau Muda A) selepas Syed Adney mengalami kecederaan pada pangkal paha.
"Tahap kecederaan Aidil ketika bertemu Myanmar tidak serius. Saya beri dia rehat dua hingga tiga hari agar luka pada kakinya itu sembuh dan saya yakin dia dapat beraksi menentang Taiwan nanti.
"Norshahrul pula, saya yakin jika dia menjalani latihan pemulihan dengan baik ditambah pula kesungguhan dan mentaliti positifnya, mungkin kecederaannya pulih lebih awal," jelas Rajagobal.
Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal turut hadir petang semalam sambil tampil memberikan kata-kata motivasi kepada para pemain sebelum bermulanya sesi latihan.
Penyerang Pelita Jaya, Safee Sali yang baru selesai musim Liga Super Indonesia kelmarin akan mula turun menjalani latihan bersama skuad kebangsaan petang ini.
Manakala lima pemain skuad Olimpik iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli dan K. Gurusamy hanya akan memasuki kem latihan pada Jumaat ini selepas beraksi menentang Lebanon pada Khamis ini.
No comments:
Post a Comment