JARINGAN gol awal sememangnya amat dicari skuad Olimpik negara namun jurulatih Ong Kim Swee tidak mahu anak buahnya terlalu terburu-buru dalam permainan sehingga memberi ruang kepada Lubnan mengambil kesempatan.
Mereka perlu berhati-hati bagi mengelak Lubnan menghasilkan gol kerana pasukan pelawat bakal mendapat kelebihan jaringan di tempat lawan untuk mara ke pusingan ketiga.
“Jika kita boleh mendapatkan gol awal, ia akan memberi kelebihan kepada kita tapi pemain perlu bersabar dan tenang. “Peraturan gol di tempat lawan penting dalam perlawanan ini dan kita perlu berhati-hati,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.
Selepas perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 di Beirut, Ahad lalu berkesudahan seri tanpa jaringan, Malaysia perlu menggunakan peluang sebaik mungkin beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membenam cabaran Lubnan.
Bagaimanapun pasukan pelawat turut memiliki kelebihan gol di tempat lawan jika perlawanan malam ini berkesudahan dengan keputusan seri.
Ketika semangat pemain negara kini sampai ke kemuncaknya, Kim Swee tidak mahu terlalu memandang terlalu jauh walaupun beliau sedar anak buahnya berpeluang mengikut jejak gemilang skuad Olimpik 1980.
“Biarkan kami memberi tumpuan pada satu perlawanan ke satu perlawanan kelayakan terlebih dulu. Doakan kami agar berjaya melakukannya untuk mencipta satu sejarah baru,” katanya.
Mengulas mengenai strategi yang bakal digunakan khususnya jentera serangan yang dilihat gagal berfungsi dengan baik, Kim Swee berkata, beliau tidak bercadang untuk melakukan rombakan besar-besaran.
Malaysia pernah layak ke Sukan Olimpik Munich pada 1972 dan Olimpik Moscow 1980. Walaupun layak beraksi di Moscow, skuad negara tidak mengambil bahagian kerana kerajaan Malaysia memboikot temasya sukan terbesar itu akibat pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
No comments:
Post a Comment