PETALING JAYA - Pemain negara diingatkan jangan bersikap terlalu yakin mereka boleh mencatat kemenangan mudah ke atas Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Ingatan itu dinyatakan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berharap skuad Harimau Malaya agar jangan terlalu leka dibuai kejayaan silam.
''Walaupun Taiwan mempunyai ranking lebih rendah berbanding Malaysia dan rekod pertemuan banyak menyebelahi kita, itu bukan satu jaminan yang kita boleh menang dengan mudah.
''Buat pemain, jangan begitu yakin dan memandang rendah akan kemampuan lawan sebaliknya fokus sepenuhnya dalam usaha mencatat kemenangan ke atas Taiwan," katanya yang dihubungi, semalam.
Tambah Hamidin, kejayaan menakluki Piala Suzuki AFF dan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2011 harus dilupakan seketika.
''Lupakan seketika kejayaan lepas, kita ada misi yang lebih besar dalam pusingan kelayakan Piala Dunia. Saya amat harap skuad Harimau Malaya mampu melepasi pusingan pertama dan melakukan perhitungan dengan Singapura pada peringkat seterusnya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment