Wednesday, June 22, 2011

Syahrul tekad tebus hampa

KUALA LUMPUR - Penyerang skuad Olimpik negara, Syahrul Azwari Ibrahim mengakui kecewa kerana gagal menghasilkan gol penting pada lewat permainan ketika menentang Lebanon pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik di Beirut, Ahad lalu.

Untuk itu, penyerang berusia 18 tahun itu tekad menebus kehampaan pada aksi timbal balik, esok.

Dia sepatutnya meletakkan Malaysia di depan, sekali gus menjadi bekalan selesa pada aksi timbal balik di Stadium Nasional esok, jika tidak kerana gugup sewaktu membawa bola ke gawang Lebanon.

"Seorang penyerang harusbertindak pantas, tidak teragak-agak membuat keputusan, itulah yang saya gagal lakukan pada perlawanan itu," katanya ketika ditemui semalam.

Pada waktu kecederaan perlawanan di Beirut, Syahrul Azwari yang dibawa masuk pada babak kedua hampir mengejutkan pasukan Asia Barat itu, jika bukan kerana lambat bertindak balas ketika menghampiri gawang gol lawan.

Pemain kelahiran Tanah Merah itu tidak pasti sama ada dia akan diturunkan esok, namun berjanji tidak akan mengulangi kesilapan jika peluang sedemikian terhidang lagi.

"Sudah pasti saya berharap dapat beraksi pada perlawanan getir Khamis ini (esok), tetapi terpulanglah kepada jurulatih.

"Sekiranya diberi kepercayaan, saya harap dapat tebus kesilapan itu dan tunaikan tanggungjawab sebagai penyerang iaitu menjaringkan gol, sekali gus membantu Malaysia mara ke pusingan seterusnya," katanya yang menjaringkan empat gol Liga Super musim ini.

Rakan penyerang, Izzaq Faris Ramlan pula menegaskan, benteng Lebanon biarpun kebal, tetapi bukan mustahil untuk ditembusi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...