Saturday, June 25, 2011

Tawan gergasi!

pema in skuad Olimpik bakal meniti ranjau perit selepas ini apabila kelayakan pusingan ketiga bermula September ini.
Pemain skuad Olimpik bakal meniti ranjau perit selepas ini apabila kelayakan pusingan ketigabermula September ini.

Kim Swee mahu komitmen tinggi pemain jadi bekalan

MENDENGAR sahaja nama seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan harus mengundang rasa gerun buat skuad Olimpik negara dan hakikatnya anak didik Ong Kim Swee jelas sekali bukan barisan bakal mencabar menjuarai mana-mana kumpulan kelayakan pusingan terakhir kelayakan, September ini.

Namun, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak selepas terselit dalam kelompok elit 12 terbaik Asia ketika ini berikutan kejayaan menewaskan Lubnan 2-1 atas agregat dalam pusingan kedua, malam kelmarin.
“Pada peringkat ini, kita tidak boleh mengelak daripada bertemu pasukan gergasi Asia,” kata pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee ketika ditanya mengenai pasukan diharap mengisi kumpulan sama dengan skuadnya. “Apa yang perlu dilakukan ialah membuat persiapan rapi menjelang saingan itu.


“Sehingga perlawanan malam tadi (kelmarin), pemain muda negara menunjukkan komitmen tinggi untuk pergi sejauh mungkin dalam saingan kelayakan ini. Saya yakin jika sikap ini diteruskan, tiada apa yang sukar dicapai.

“Sebenarnya pasukan ini masih dalam proses pembelajaran yang tidak akan ada penghujungnya dan semakin banyak perlawanan diharungi, mereka akan menjadi semakin matang. Saya anggap ini sebagai permulaan dan pemangkin kepada generasi baru bola sepak negara.”

Anak buah Kim Swee mempamerkan permainan terpuji di Stadium Nasional, Bukit Jalil memastikan kemenangan ke atas Lubnan, walaupun terpaksa bertahan dengan 10 pemain selepas Gary Steven Robbat dibuang padang ketika negara mendahului dua gol hasil jaringan babak pertama, Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Kehilangan tonggak tengah itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat barisan muda negara yang bertahan bermati-matian mengekang asakan bertali arus jentera serangan Lubnan sepanjang 40 minit terakhir. 
“Saya yakin mereka mampu lakukannya,” kata Kim Swee berkenaan perasaannya ketika kubu negara diasak bertubi-tubi pasukan lawan. “Jika disiplin dan komitmen begini ditunjukkan pada peringkat kumpulan nanti, saya pasti kita mampu melakukan kejutan.”

Malaysia satu-satunya wakil Asia Tenggara layak ke pusingan ketiga selepas menyingkirkan pasukan pilihan, Lubnan. Dua belas pasukan yang layak akan diundi kepada tiga kumpulan pada 7 Julai ini dengan juara setiap kumpulan layak terus ke London, manakala dua pasukan naib juara terbaik akan bertarung dalam perlawanan penentuan.

Apapun, dilema baru buat Kim Swee adalah pertembungan saingan itu dengan Sukan SEA di Palembang November di mana Malaysia akan hadir selaku juara bertahan.

“Misi emas Sukan SEA juga satu keutamaan. Saya mungkin akan meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat rayuan kepada FIFA (Persekutua Bola Sepak Antarabangsa) menangguhkan perlawanan kedua pusingan kelayakan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...