Thursday, June 30, 2011

Rajagobal lega tetapi kecewa

pix_gal0
Kata benteng negara ‘tidur’ pada separuh masa kedua temui Taiwan 

LEGA tetapi kecewa. Itu reaksi ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Zon Asia yang menyaksikan skuad negara menang 2-1 ke atas Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
“Selepas mendahului dua gol, barisan pertahanan ‘tidur’ sehingga membolehkan Taiwan memperoleh gol di tempat lawan,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
“Kita sepatutnya mendapat dua gol lagi pada babak kedua menerusi Baddrol Bakhtiar tetapi gagal disempurnakan. Sebaliknya kita membiarkan lawan mengasak dan mendapat bekalan satu gol di tempat lawan. 

“Saya jangkakan perlawanan di Taiwan Ahad ini akan lebih sengit dan saya tetap yakin pemain kita akan berusaha lebih keras memastikan kemenangan pusingan ini. Walaupun kemenangan ini tipis, ia tetap satu kemenangan dan kita mempunyai kelebihan apabila bertandang ke sana.” 

Secara keseluruhan, Rajagobal berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berehat panjang selepas kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki tujuh bulan lalu. “Ini permulaan baik buat skuad negara dan saya optimis dengan peluang kita pada pusingan awal ini.” 

Sementara itu, jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung mengakui kehebatan anak buah Rajagobal dan bertekad mahu menebus kekalahan malam tadi dalam pertemuan timbal balik di laman sendiri nanti. 


“Jelas pasukan Malaysia lebih baik berbanding kami,” kata Chih-Tsung. “Kami terpaksa bertahan pada malam ini (malam tadi) walaupun kelebihan pasukan ini ialah permainan menyerang. 

“Kami benar-benar mahu memenangi pusingan kelayakan ini dan saya pasti apabila di Taiwan nanti, kami berupaya mempamerkan permainan sebenar untuk mencapai sasaran. Sekurang-kurangnya matlamat awal mendapat gol di sini sudah tercapai.” 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...