Latihan membabitkan sehingga 12 aksi persahabatan lawan kelab Slovakia
KERINGAT berjaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik jelas berbaloi buat skuad bola sepak Harimau Muda pimpinan Ong Kim Swee.
Semalam, Kementerian Belia dan Sukan mengesahkan skuad pelapis negara itu akan menjalani latihan selama sebulan di Vion, Slovakia bermula 21 Julai ini yang membabitkan 10 sehingga 12 perlawanan persahabatan menentang kelab divisyen satu liga negara berkenaan.“Ini adalah persediaan mantap untuk menyahut cabaran Sukan Sea di Indonesia, November ini serta kelayakan ke Olimpik 2012 London, tahun depan,” kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim kepada wartawan selepas merasmikan Bengkel Penyelarasan dan Pembangunan Bola Sepak Negara di Kompleks Sukan Bukit Jalil, semalam.
Dia menambah, peruntukan ini diberi selepas kerajaan melihat hasrat membawa pasukan Olimpik negara menjalani latihan di luar negara sebagai langkah terbaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun kos keseluruhannya agak besar.
“Kita akui kos yang terpaksa ditanggung itu tinggi, namun jika ia adalah langkah baik demi pembangunan bola sepak negara, kerajaan sedia membantu. Kita mempunyai pengalaman sebelum ini menghantar pemain kita menjalani latihan di Slovakia dan keputusan dicapai adalah positif.
Razali menambah, dana berjumlah RM1.7 juta turut diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk pembangunan bola sepak secara menyeluruh di peringkat sekolah.
Peruntukan itu termasuk RM800,000 bagi penganjuran liga Kementerian Pelajaran, RM500,000 bagi peralatan sukan dan RM400,000 untuk penganjuran Karnival Sukan Berprestasi Tinggi.
“Sasaran kita adalah untuk mendapat 2,600 pemain bola sepak di peringkat sekolah, berumur 11 hingga 13 tahun berlatih di bawah 1,700 jurulatih yang terbabit dengan program pembangunan ini dijalankan di seluruh negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment