Saturday, June 25, 2011

Enggan jadi pelengkap

PUAS...Izzaq (kanan) dan K Gurusamy meraikan kejayaan sambil pemain Lubnan tangisi kekalahan di Bukit Jalil.
PUAS...Izzaq (kanan) dan K Gurusamy meraikan kejayaan sambil pemain Lubnan tangisi kekalahan di Bukit Jalil.

SEJAK Dashie Ong dilahirkan hampir dua bulan lalu, jurulatih Ong Kim Swee sehingga kini hanya sempat meluangkan masa tidak sampai 10 hari bersama cahaya mata keduanya itu demi komitmen dengan skuad Harimau Muda A dan juga skuad Olimpik negara.

Pengendali negara itu sedia untuk mengorbankan lebih banyak masa bersama barisan pemainnya demi memastikan kehadiran Malaysia pada pusingan ketiga peringkat kumpulan bukan sekadar pelengkap 12 pasukan yang bersaing merebut slot ke Sukan Olimpik London.

Kim Swee jelas mahu anak buahnya menggunakan peluang beraksi dengan pasukan gergasi Asia untuk membuktikan mereka seharusnya wajar dihormati selaku wakil tunggal Asia Tenggara yang layak ke peringkat itu.

“Kita sudah tidak boleh mengelak, pusingan ketiga membabitkan pasukan terbaik Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia. Bukan mudah untuk kita mendapat peluang bertemu dengan pasukan seperti itu kerana kalau mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka, belum tentu boleh.

“Tapi ini bukan bermakna kita akan mudah mengalah apabila berdepan mereka kerana saya yakin, berbekal persiapan rapi serta komitmen pemain ditunjukkan ketika berdepan Lubnan, kita boleh membuat kejutan,” katanya.

Kim Swee, 40, membimbing skuad Olimpik bawah 23 tahun negara melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Lubnan menerusi agregat 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Turut mengiringi Malaysia ke saingan peringkat kumpulan itu adalah Australia, Korea, Jepun, Uzbekistan, Qatar, Arab Saudi, Iraq, Bahrain, Syria, Oman dan Emiriah Arab Bersatu.

Kesemua pasukan itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik ke Olimpik 2012 London manakala naib juara kumpulan akan bersaing dalam play off untuk merebut satu lagi tiket.

Menyedari halangan penuh ranjau yang bakal menanti untuk merealisasikan impian yang sudah 31 tahun dipendam rakyat Malaysia selepas kali terakhir layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, Kim Swee berharap dapat mengatur persiapan terbaik selepas mengetahui lawan yang bakal ditentang selepas undian dilakukan pada 7 Julai ini di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Asia di Bukit Jalil.

“Saya kena tunggu keputusan undian pusingan ketiga yang akan dibuat bulan depan selepas itu barulah saya boleh merancang lebih rapi persiapan yang akan dilakukan,” katanya.

Malah perancangan yang cuba diatur Kim Swee bukan saja terarah kepada kelayakan Olimpik sebaliknya beliau pada masa sama turut akan menyediakan pasukan terbaik untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Indonesia, November ini.

“Kami akan mengharungi jadual yang sibuk dengan persiapan Sukan Sea dan kelayakan Olimpik. Selain itu saingan Piala Malaysia juga akan bermula September ini dan skuad negara juga bakal menyertai kejohanan jemputan VFF Bawah 23 tahun di Hanoi pada Oktober. Kami juga masih mempunyai baki tiga perlawanan Liga Super musim ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...