Wednesday, June 29, 2011

Taiwan mahu asak Harimau hingga wisel penamat

PETALING JAYA - Taiwan sama sekali tidak akan turun bermain secara bertahan pada malam ini, sebaliknya akan cuba mengamalkan taktikal menyerang dalam usaha memberikan saingan kepada Harimau Malaya.

Demikian kata-kata yang terluah daripada jurulatihnya, Lo Chih-Tsung yang berkata, mereka bersedia memberikan saingan terhebat biarpun menyedari reputasi Harimau Malaya selaku juara Piala AFF dalam usaha merintis laluan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

''Pada masa lalu, Taiwan dikenali sebagai pasukan yang bermain secara bertahan tetapi sekarang, kami bersedia menukar permainan secara lebih menyerang dalam usaha menyaingi Malaysia.

''Seperti mana anda tahu, permainan menyerang merupakan pertahanan terbaik.
''Saya yakin para pemain boleh memberikan saingan hebat kepada Malaysia dan sebagai jurulatih, saya optimis boleh mendapat keputusan yang positif, esok.

''Terus terang, saya begitu gembira dapat berjumpa dengan Malaysia pada pusingan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia memandangkan mereka baru sahaja memenangi Piala AFF," katanya di Wisma FAM, semalam.

Skuad Taiwan kali ini turun tanpa pemain pertahanan yang beraksi di Liga Belgium, Xavier Chen ekoran masih belum dapat pelepasan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) terhadap status kerakyatan.

''Dia (Xavier) tidak menyertai pemain-pemain lain di sini kerana masih ada masalah dalam soal status kerakyatan kerana dia pernah beraksi bersama pasukan Bawah 19 Belgium.

''Namun, kami cuba menggunakan khidmatnya pada perlawanan timbal balik kedua di Taiwan, Ahad depan," katanya.

Xavier, 28, merupakan pemain yang mempunyai darah campuran Taiwan (ayah) dan Belgium (ibu), kini dia beraksi bersama kelab Y.R. K.V. Mechelen dan pernah menjadi kapten Belgium bagi skuad Bawah 19 tahun.

Jelas Chih-Tsung lagi, mereka telah melakukan persiapan rapi selama dua minggu di Korea Selatan sebelum berkunjung ke Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...