Thursday, June 30, 2011

Kim Swee tunggu lampu hijau

Razali Ibrahim (tengah) pada majlis Perasmian Bengkel Penyelarasan Bola Sepak dan Pelancaran Logo Pogram Pembangunan Bola Sepak Negara di Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/irwan Majid

KUALA LUMPUR - Bagi memantapkan lagi persiapan anak -anak buah Ong Kim Swee menjelang pusingan akhir kelayakan Olimpik September ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merancang untuk menghantar skuad bawah 22 tahun negara sekali lagi ke Slovakia pada penghujung Julai.

Hasrat itu dinyatakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad yang berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum mendapat lampu hijau.

''Pemergian ke sana bukan sahaja untuk persiapan pusingan kelayakan Olimpik tetapi juga bagi Sukan SEA 2011 di Indonesia. Mereka semua akan menjalani latihan di Vion, tempat sama yang mereka pernah pergi sebelum ini.

''Berdasarkan perancangan, skuad Olimpik akan bermain dalam 10 ke 12 perlawanan persahabatan dengan kelab Divisyen 1 Liga Slovakia di samping dua perlawanan dengan skuad Olimpik Austria dan Republik Czech.

''Mungkin mereka akan berlepas ke sana pada 24 atau 25 Julai iaitu selepas semua perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab Liga Perdana England (EPL) berakhir dan berada akan di sana sehingga 28 Ogos iaitu

''Kami telah menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan menunggu kelulusan daripada KBS, saya harap mereka boleh membantu terutamanya dalam soal kewangan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Bengkel Penyelarasan Bola Sepak dan Pelancaran Logo Program Pembangunan Bola Sepak Negara di Bukit Jalil, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan turut dihadiri Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Ini merupakan kali ketiga penghantaran pemain ke Slovakia semenjak tahun lalu dan pendedahan di sana ternyata memberikan banyak manfaat kepada pemain muda negara dan hasilnya dapat dilihat dalam skuad Olimpik yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan selepas menundukkan Lebanon baru-baru ini.

Sementara itu, Razali ketika ditanya mengenai hasrat FAM berkenaan membalas dengan reaksi yang positif sambil berjanji KBS akan memberikan sokongan dalam usaha tersebut.

''KBS masih pertimbangkan permohonan FAM untuk penghantaran pemain ke Slovakia tetapi kami akan pastikan program itu berjaya dilaksanakan.

''Namun, kami mahu meneliti terlebih dahulu bantuan yang boleh diberikan sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian sahaja.

''Ini kerana skuad Olimpik layak menerima bantuan daripada Tabung Pembangunan Bola Sepak bagi melakukan persiapan menghadapi kelayakan Olimpik tetapi bukan untuk skuad kebangsaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...