Thursday, June 23, 2011

Lebanon tidak berdepan tekanan

PETALING JAYA - Walaupun bakal berhadapan sokongan padu ribuan penyokong setia Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, ia tidak diendahkan pengendali skuad Olimpik Lebanon, Samir Saad.

Sebaliknya, Samir menganggap sorakan padu penyokong skuad negara boleh bertukar menjadi pembakar semangat kepada pemainnya untuk mempamerkan permainan terbaik.

Malah, Samir mengakui pemainnya bebas daripada sebarang tekanan walaupun skuad Malaysia mengikat mereka tanpa jaringan pada aksi di Beirut, Ahad lalu.

"Sorakan penyokong pasukan anda mungkin mampu menjadi motivasi tambahan buat kami untuk bermain lebih baik.

"Peluang kedua-dua pasukan seimbang, peluang 50-50 untuk layak. Prestasi kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza jika dilihat pada pertemuan pertama, " katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Dijangka 20,000 hingga 30,000 penyokong skuad kebangsaan membanjiri Stadium Nasional bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Olimpik yang berpeluang melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik selepas mengikat Lebanon tanpa jaringan di Beirut Ahad lalu.

Tambah Samir, mereka berazam memburu gol awal kerana menyedari ia mampu menjadi senjata untuk membunuh semangat pemain Malaysia.

"Jaringan gol di tempat lawan akan memberikan kelebihan besar kepada kami, jadi saya harap kami dapat menjaringkan gol terlebih dahulu dalam perlawanan esok," katanya.

Dia juga lega kerana pemainnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas di negara ini, walaupun baru dua hari di sini.

"Cuaca seperti ini adalah biasa bagi kami, ia tidak jauh berbeza dengan cuaca di negara kami," katanya.

Jurulatih Lebanon, Samir Saad (kiri) berbual dengan pengendali skuad kebangsaan, Ong Kim Swee selepas sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...