Saturday, June 25, 2011

Irfan selesa kurang dikenali lawan

NAMANYA kurang mendapat perhatian namun Mohd Irfan Fazail lebih selesa dengan situasi itu kerana memudahkannya meledak di saat-saat penting.

Itu dibuktikannya apabila dia menyentap semangat pemain Lubnan di awal permainan dengan jaringan cantik menerusi rembatan kaki kanan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohamad Dakramanji.

Bukan kali pertama pemain kelahiran Pontian, Johor itu membolosi gawang di peringkat antarabangsa kerana dia juga mencetak nama selaku penjaring ketika Malaysia menewaskan Pakistan 2-0 di Stadium Shah Alam pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik, Februari lalu.

“Mungkin lawan tidak begitu memberi perhatian kepada saya dan mudah untuk saya mendapat ruang. Rakan-rakan juga banyak membantu mencipta peluang untuk saya.

“Jurulatih memberi arahan supaya kami mendapatkan gol awal dan saya cuba melakukannya bila dapat peluang,” katanya.

Mohd Irfan sememangnya menjadi pilihan utama Ong Kim Swee untuk beraksi di posisi belakang penyerang tunggal yang selalunya diisi penyerang tinggi lampai Izzaq Faris Ramlan atau Syahrul Azwari Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...