SELEPAS menyaksikan peningkatan persembahan pemain dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super, jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah kini lebih yakin untuk membentuk skuad lebih mantap bagi meletakkan kembali kedudukan pasukan di landasan kejayaan.
Baginya, persembahan ketika seri 1-1 dengan Kedah amat membanggakan sekalipun tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik selepas beberapa pemain belum pulih daripada kecederaan.
Walaupun matlamat sebenar meraih mata penuh, pulang dengan satu mata dari gelanggang lawan cukup bermakna, apatah lagi berdepan pasukan memiliki reputasi lebih tinggi.
“Saya melihatnya sebagai kemajuan dan perkembangan sangat positif, terutama menjelang perlawanan terakhir liga bertemu Perlis, 7 Julai ini.
“Kami sudah bersedia mempamerkan reputasi sebenar bagi melengkapkan saingan liga dengan kemenangan dan merangka sasaran tertentu pada saingan Piala Malaysia pula,” katanya.
Menurut Azraai, fokusnya kini adalah mempertahankan reputasi pasukan selaku bekas juara Piala Malaysia dan berharap usahanya itu membuahkan hasil apabila dapat membentuk kesebelasan terbaik antaranya dengan kehadiran semula Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan Mohd Shaffik Abd Rahman.
“Norhafiz sudah sedia beraksi semula dan kehadirannya pasti mengukuhkan benteng pasukan yang sebelum ini terpaksa digalas Mohd Shukor Adan bersama Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.
“Malah kehadiran bekas tonggak pertahanan kebangsaan itu juga memberi banyak pilihan untuk saya merencanakan strategi lebih mantap,” katanya.
Beliau harap Negeri Sembilan dapat bangkit pada pentas Piala Malaysia selepas misi mempertahankan kejuaraan Piala FA terlepas selain sasaran menjuarai Liga Super juga tersasar.
No comments:
Post a Comment