Wednesday, July 6, 2011

‘Jangan pandang rendah keupayaan lawan’

KAPTEN pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi memberi saranan kepada rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin dan memandang mudah keupayaan Sabah pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Mohd Badhri atau Piya sebaliknya mengharapkan skuad The Red Warriors itu memberi tumpuan 100 peratus bagi menjamin kemenangan untuk menjulang kejuaraan.

Katanya, Kelantan pasti akan diasak habis-habisan tuan rumah, namun ia tidak menggentarkan mereka yang menjanjikan tentangan sengit.
Dalam keghairahan mencari kemenangan, Kelantan juga perlu berwaspada terhadap kemampuan Sabah selain berharap rakan sepasukan memberikan aksi terbaik.

“Saya harap kami tidak leka malah lebih berhati-hati kerana ini perlawanan terakhir yang menentukan kejuaraan. Kami tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk membantu meraih gelaran.

“Untuk itu setiap peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin dengan menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan,” katanya.
Kelantan hanya memerlukan seri untuk dinobatkan juara Liga Super buat kali pertama bagi mengetepikan Selangor dan Terengganu selaku pesaing terdekat.

Kepada satu soalan, Badhri optimis Kelantan akan meraih kejuaraan yang amat ditunggu-tunggu.

Ketiadaan pemain sayap kiri, Nurul Azwan Roya yang digantung berikutan mendapat tiga kad kuning, tidak menjejaskan semangat pasukan.

Katanya, dengan percaturan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu, dia percaya pasukannya mampu melaksanakan misi yang sudah rancang.

“Saya yakin jurulatih sudah ada pengganti terbaik mengisi kekosongan itu. Apa yang penting siapa saja yang diberikan tugas harus melakukannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...