Monday, October 3, 2011

Nostalgia Rajagobal


PERTEMUAN skuad kebangsaan dengan Australia di Canberra, Jumaat ini pastinya menggamit semula kenangan manis ketua jurulatih Datuk K Rajagobal yang pernah merasai detik kemenangan ke atas skuad Socceroos itu pada 1992.

Ketika itu, Rajagobal menjadi penolong jurulatih kepada Ken Worden membimbing skuad negara menewaskan Australia 1-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Ulang Tahun Jakarta.

Namun memori indah itu sudah hampir 20 tahun berlalu dan Rajagobal mengingatkan supaya semua pihak menerima realiti betapa Australia kini sudah berada di kelas tersendiri.


“Saya masih ingat 20 tahun lalu ketika Malaysia menewaskan Australia 1-0, ketika itu saya menjadi penolong jurulatih kepada Ken Worden. Gol Malaysia dijaringkan P Ravindran selepas mendapat hantaran Zainal Abidin Hassan. “Tapi dulu skuad Australia tidak seperti sekarang. Sekarang ramai pemain mereka beraksi di Belanda, England dan Turki. Bagi saya ini bukan tugas mudah tapi kita kena menyahut cabaran ini kerana pemain-pemain boleh menimba pengalaman apabila menentang pasukan handalan seperti Australia,” katanya selepas tamat perlawanan persahabatan antara skuad kebangsaan dengan skuad bawah 23 tahun negara.

Pertemuan ‘abang-adik’ itu di padang latihan Wisma FAM Kelana Jaya, nyata memihak kepada skuad kebangsaan dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-36, Baddrol Bakhtiar (m-47) dan Shahrizal Mohd Saad (m-88).

Biarpun Rajagobal tidak dapat menguji kemampuan anak buahnya menerusi perlawanan antarabangsa namun aksi menentang skuad bimbingan Ong Kim Swee ini sekurang-kurangnya boleh dijadikan aksi pemanas badan sebelum berlepas ke Canberra hari ini.



“Saya dapat melihat kombinasi menerusi perlawanan ini dan sememangnya ada tanda positif walaupun skuad kali ini tanpa beberapa pemain tonggak utama.

“Kita sedia maklum, taraf Australia memang berbeza jadi saya berharap dalam tempoh dua-tiga hari saya akan cuba mempersiapkan pasukan ini sebelum perlawanan sebenar,” katanya.

Pengendali negara itu berkata, beliau hanya akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa ke Canberra selepas tamat sesi latihan terakhir hari ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...