PUTRAJAYA - Kerajaan tidak bersetuju dengan kesediaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menanggung kos penangguhan pembaikan trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang bernilai RM500,000 bagi membolehkan aksi pasukan Liga Perdana England.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah tersebut sangat tinggi dan lebih baik ia digunakan untuk membangunkan program sukan terutamanya bola sepak.
"RM500,000 bukannya duit kami, bukan duit Menteri dan bukan duit KSU (Ketua Setiausaha ) tapi ini duit rakyat.
"Dengan jumlah itu berapa banyak gelanggang futsal yang boleh dibina?
"Kementerian tidak mahu FAM rugi, jika rugi bagaimana mereka hendak mendapatkan wang untuk pembangunan," katanya selepas Pra Pelancaran dan Promosi Y-Avenue di Menara KBS di sini, semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad 'menyahut' permintaan supaya badan induk bola sepak negara itu menanggung kos penangguhan pembaikan trek Stadium Nasional bagi membolehkan ia boleh dibuka semula untuk perlawanan tiga kelab gergasi Liga Perdana England.
Kelab tersebut adalah Liverpool, Arsenal dan Chelsea yang akan menentang Harimau Malaya pada Julai ini, dengan Stadium Nasional menjadi pilihan utama sebagai venue perlawanan.
Tambah Ahmad Shabery, penangguhan pembaikan trek tidak boleh dihentikan sewenang-wenangnya kerana banyak lagi pertandingan penting yang akan berlangsung tahun ini.
Katanya, sebagai sebuah stadium utama di negara ini, peranannya tidak terhad kepada bola sepak, tetapi mencakupi sukan lain.
"Kita tak mahu kerja-kerja baik pulih trek terganggu kerana ia telah ditunda banyak kali untuk perlawanan akhir Piala Suzuki AFF.
"Lepas ini akan diadakan pula perlawanan pusingan kedua Pra- Olimpik, Pra-Piala Dunia dan Sukan Malaysia di stadium itu juga, kita tidak mempunyai pilihan lain.
"Stadium Shah Alam tidak mengikut standard antarabangsa, juga stadium baru stadium Hang Tuah, jadi kebergantungan kepada hanya satu stadium sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment