Sunday, May 1, 2011

Kelantan rampas pendahulu liga

Tewaskan KL 2-0 di Kota Bharu

PELUANG kembali ke persada Liga Super dimanfaatkan sepenuhnya Kelantan dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV malam tadi - memintas Selangor dengan perbezaan jaringan dan mengatasi Terengganu dengan satu mata. 

Kelantan mendahului Kuala Lumpur 1-0 pada babak pertama selepas Mohd Badri Razi melakukan larian solo dan menewaskan dua pertahanan sebelum merembat membolosi gawang lawan pada minit ke-24.

Pada babak kedua, tuan rumah mengukuhkan kedudukan menerusi gol S Chanturu pada minit ke-79, selepas penyerang itu menerima lorongan cantik Mohd Badri.
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Harimau Muda menundukkan Perlis 3-1 selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol hasil jaringan Mohd Rizal Ghazali (m-9) yang mencuri peluang apabila anak buah Ong Kim Swee gagal mengeluarkan bola sepakan percuma Hadi Syahmi Hamzah. 

Harimau Muda A bagaimanapun memastikan kedudukan kembali seimbang di penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma Mohd Fandi Othman (m-43) dari penjuru kiri kotak penalti yang melencong melepasi penjaga gol tuan rumah, Amini Ahmad Tabarani serta sepakan penalti pada minit ke-75 sebelum Mohd Amer Saidin melengkapkan kemenangan dengan tandukan padu tiga minit sebelum tamat. 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team dan Negeri Sembilan sekadar mengakhiri permainan tanpa jaringan sekalipun Mohd Nor Farhan Muhd yang menggelecek tiga pertahanan gagal merembat tepat manakala cubaan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-85 terkena palang. 

Di Stadium KLFA Cheras, Negeri Sembilan memecah kebuntuan menerusi gol Shukor Adan pada minit ke-44 dan tiga minit babak kedua bermula, Mohd Firdaus Azizul menambah jaringan untuk menjadikan kedudukan 2-0. 
Namun kelalaian benteng pertahanan Mohd Azraai Khor Abdullah menyaksikan FELDA United bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd Nizaruddin Yusuf (m-59) dan Mohd Lot Abu Hassan (m-86). 

Di Stadium JCORP Pasir Gudang, Johor FC memungut tiga mata penuh apabila menang 3-0 ketika melayan kunjungan Sabah dengan Eddy Helmi Manan menyempurnakan sepakan penalti untuk mendahului pelawat pada minit ke-41. 

Pada babak kedua, tuan rumah memperoleh gol kedua menerusi kesilapan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein yang gagal membaca sepakan lemah Mohd Riduwan Maon pada minit ke-80 sebelum Shahrizal Saad melengkapkan kemenangan dengan gerakan solo pada minit terakhir. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...