Sunday, May 1, 2011

Norizan akui kelekaan benteng punca kekalahan

KELEKAAN benteng menjadi faktor kekalahan Perak kepada Kedah sekali gus 1-3 kelmarin, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Seladang di kandang sendiri dalam saingan Liga Super 2011. 

Rumusan itu dibuat ketua jurulatih Perak, Norizan Bakar berdasarkan kesilapan yang dilakukan anak buahnya hingga membolehkan anak buah baru Wan Jamak Wan Hassan, pulang ceria dengan tiga mata penuh.

“Kami cuba memberi tentangan pada babak pertama tetapi kealpaan benteng menyebabkan kubu kami dibolosi. Itu menyentak semangat pasukan,” katanya merujuk salah faham benteng pertahanan yang membolehkan Mohd Khyril Muhymeen meletak Kedah di depan pada minit ke-30.
Skrip kesilapan sama berulang di babak kedua apabila pemain tuan rumah yang ghairah gagal menembusi gawang Kedah yang dikawal Mohd Helmi Eliza Elyas dan dihukum dengan serangan balas untuk Mohd Firdaus Faudzi menewaskan penjaga gol Mohd Nasril Nourdin buat kali kedua pada minit ke-75. 

Perak bertambah malang apabila Mohd Syazwan Roslan tertanduk ke dalam gawang sendiri lapan minit selepas itu dalam usaha menyekat hantaran lintang Firdaus sebelum Mohd Noor Hazrul Mohd Mustapha merapatkan jurang buat tuan rumah pada masa kecederaan. 

Ketika Norizan berwajah muram, Wan Jamak menyifatkan kemenangan itu hasil kesungguhan pemain yang memaparkan semangat untuk menang. 

“Kedah menang bukan kerana saya. Saya tidak melakukan sebarang keajaiban sebaliknya kunci kemenangand i tangan pemain sendiri. Jika bermain cemerlang, hasilnya pasti lumayan. Saya berharap mereka mampu meneruskan persembahan seperti ini,” katanya. 




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...