Tuesday, May 10, 2011

Kijang waspada ancaman Rusa

KEMENANGAN lima kali berturut-turut menjadi bekalan semangat untuk Kelantan turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, selain semangat, pemainnya juga berkunjung ke tempat lawan dengan berbekal kekuatan mental bagi menghadapi tekanan dan cabaran lawan sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik The Red Warrirors.

“Saya mahu mental pemain dalam keadaan terbaik dan bersedia menghadapi apa jua tekanan kerana kita berjuang di gelanggang lawan.


“Saya mahu lima kemenangan berturut-turut yang dicapai sebelum ini menjadi motivasi buat pemain meneruskan rentak cemerlang ketika berdepan Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mohamad, Kota Bharu, pagi kelmarin.

Menurut Karathu, walaupun prestasi Negeri Sembilan dilihat tidak menentu termasuk tewas 0-2 kepada Sabah, Jumaat lalu, ia tidak harus dipandang mudah The Red Warriors.


“Kita akan bermain sebaik mungkin dan mengharapkan sentuhan berbisa pemain supaya mendapatkan gol awal bagi memburu kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan teratas dalam saingan Liga Super musim ini. 


“Kemenangan itu juga penting untuk menaikkan lagi semangat pemain berdepan Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA, 12 Mei ini,” katanya.

Karathu berkata, dia akan menurunkan pemain terbaik dan mengatur strategi mantap bagi mengatasi lawan sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.

“Kami tahu Negeri Sembilan miliki jurulatih baru (Mohd Azraai Khor Abdullah) dan pasti mereka ada percaturan tersendiri,” katanya.


“Saya juga ada percaturan tersendiri dan akan menurunkan pemain terbaik yang mampu meledak gol di minit awal perlawanan,” katanya. 

Menurut Karathu, tidak timbul soal tekanan ketika menentang Negeri Sembilan yang dianggap sebagai antara pasukan pilihan musim ini kerana pemainnya menganggapnya perkara biasa terutama dalam meneruskan misi selaku pendahulu liga.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...