JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee masih tercari-cari penyerang yang mampu bergelar penggempur utama untuk menghadapi aksi pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.
Kim Swee mungkin terpaksa bergantung harap kepada barisan penyerang skuad Harimau Muda A, memandangkan empat penyerang 'luar' dipanggil untuk kem latihan pusat bermula 29 Mei ini turut belum cukup meledak.
Mereka adalah penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Fakri Saarani yang kini bergelut masalah kecede- raan, Fandi Ahmad (Johor FC), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saar- vindran (Harimau Muda B).
Justeru, harapan bagi memacu jentera serangan skuad Olimpik negara mungkin perlu digalas barisan empat penyerang Harimau Muda A iaitu Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim, Ferris Danial Mat Nasir dan A. Thamil Arasu.
Namun selepas 17 perlawanan Liga Super diharungi Harimau Muda A, Izzaq hanya menjaringkan tiga gol, Syahrul (1), Ferris (1) pada aksi Piala FA, manakala Thamil tanpa se- barang gol.
Ia pasti satu tamparan hebat kerana senarai penjaring terbanyak Harimau Muda A diketuai pemain sayap kiri, Fandi Othman dengan lima gol diikuti dua pemain tengah, Irfan Fazail (3) dan Gary Steven Robbat (2).
Kim Swee yang juga jurulatih Harimau Muda A menyedari situasi tersebut dan amat berharap ketumpulan para penyerangnya itu dapat diatasi pada enam perlawanan Liga Super sepanjang bulan ini.
Pada aksi di Stadium Shah Alam malam kelmarin, Harimau Muda A sekadar seri 1-1 dengan Perak hasil jaringan Gary Steven sebelum disamakan Wan Hossen Wan Ghani.
"Secara keseluruhan, kita beraksi baik, cuma kelalaian pada awal babak kedua menyebabkan kita dibolosi.
"Kita berjaya mengatur banyak gerakan selepas itu tetapi tidak mampu mendapatkan gol kedua.
"Penyudah kita memang tumpul. Ini kelemahan ketara yang dapat saya kesan dan perlu diperbaiki segera pada perlawanan selepas ini," kata Kim Swee ketika ditemui sele- pas perlawanan.
Dengan itu, enam perlawanan bertemu T-Team petang esok, Sabah (15 Mei), Terengganu (19 Mei), Pahang (22 Mei), Selangor (25 Mei) dan Sabah (28 Mei) bakal menjadi medan terbaik buat Izzaq, Syahrul, Ferris dan Thamil mencari semula sentu- han penyudah mereka.
No comments:
Post a Comment