Tuesday, July 5, 2011

Devan akur

SATU perkara yang amat dibenci K Devan dalam bola sepak adalah apabila berdepan situasi terpaksa menagih harapan agar pasukan lain kalah untuk membolehkan pasukannya mencipta kejayaan.

Mahu tidak mahu situasi itu terpaksa jua ditempuhi pengendali Selangor itu musim ini apabila hidup mati peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super bergantung kepada keputusan terakhir perlawanan esok.

Dua tahun sebelum ini kejuaraan Liga Super ditentukan sendiri namun kali ini mereka terpaksa mengharapkan peneraju liga Kelantan tumpas kepada Sabah di Stadium Likas sambil skuad gergasi merah itu pula perlu merekod kemenangan ke atas Perak di Stadium Perak di Ipoh.

“Ini satu keadaan yang saya tak suka kerana terpaksa menunggu keputusan perlawanan lain untuk menentukan kejuaraan tapi di sini yang paling mustahak adalah melaksanakan tugas kami dengan baik.

“Perak bukan pasukan yang mudah ditewaskan dan kami perlu berhati-hati apatah lagi bermain di tempat lawan,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Skuad Kelantan yang dibimbing Datuk M Karathu boleh merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak diperkenal pada 2004 jika meraih tiga mata penuh kerana kini sudah mengumpul 53 mata daripada 25 perlawanan sedangkan Selangor di tangga kedua ketinggalan dua mata di belakang.

Namun Kelantan dan Selangor sebenarnya harus waspada kerana Terengganu sedia memintas di saat-saat akhir jika kedua-dua pasukan itu tumpas kerana skuad Penyu itu kini memiliki 50 mata untuk menduduki tangga ketiga.

Terengganu yang dipimpin jurulatih Irfan Bakti Abu Salim pasti bersemangat selepas menjulang trofi Piala FA musim ini dan perlu berdepan Felda United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya bagi aksi terakhir liga.

Menurut Devan, selepas Liga Super berhenti hampir sebulan bagi memberi laluan kepada skuad Olimpik dan skuad senior negara mengharungi tugasan antarabangsa, pasukannya kini sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Perak.

“Kami cuma berehat lima hari sebelum ini dan dengan tempoh yang ada memberikan kelebihan untuk pemain kembali cergas dan pulih daripada kecederaan. Setakat ini semua pemain saya bebas daripada kecederaan kecuali pemain pertahanan Mohd Nasriq Baharom.

“Mengenai Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi (Zainal) dan Asraruddin Putra Omar yang baru pulang selepas bersama skuad kebangsaan, saya akan nilai dulu tahap kecergasan mereka, jika tidak mungkin mereka hanya bermain separuh masa saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...