MACHANG - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sumbangan RM2 juta kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berikutan prestasi memberangsangkan skuad negeri ini dalam Liga Malaysia.
Perdana Menteri turut berharap prestasi cemerlang pasukan bola sepak Kelantan atau The Red Warriors (TRW) yang mendapat sokongan padu rakyat negeri ini dapat membantu mengembalikan kegemilangan bola negara.
Beliau turut menyatakan bahawa permintaan rakyat negeri ini supaya stadium baru dibina dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN).
"Sudah tiga tahun kita beri peruntukan sebab masa depan KAFA adalah amat baik. Saya ingin perkara ini dilakukan dengan cara yang terbaik. Kalau kita lakukan kena pada tempatnya, kalau semai benih hari ini, kita akan dapat menuai hasilnya," katanya berucap di hadapan lebih
15,000 rakyat pelbagai kaum termasuk penyokong TRW pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan TRW di Sekolah Kebangsaan Machang 1, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan kesebelasan utama TRW.
Perdana Menteri kemudiannya diumumkan sebagai penyokong No. 1 TRW dan turut melancarkan Akademi Alhamra The Red Warriors (Army).
Sejurus pengumuman itu dibuat oleh pengerusi majlis, Perdana Menteri kemudiannya dikalungkan selendang bertulis 'penyokong No. 1 The Red Warriors' dan menerima jersi yang ditandatangani kesebelasan pemain TRW daripada Annuar.
No comments:
Post a Comment