Tuesday, May 1, 2012

Andaian awal bawa padah


Harian Metro

JIKA Terengganu terlalu mudah membuat andaian awal yang barisan serangan Sime Darby akan terjejas teruk kerana ketiadaan penyerang import berbisa, Patrick Ronaldinho Wleh, mereka sebenarnya hanya mengundang padah.


Biarpun Ronaldinho yang meledak salah satu gol kemenangan Sime Darby 2-1 pada pertemuan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu sebelum ini tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan, jurulatih pasukan kelab itu, Ismail Zakaria tetap tenang menjelang aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.


Selain menyandarkan harapan kepada Zamri Hassan dan Razali Umar Kandasamy untuk merobek gawang skuad Penyu, Ismail berkemungkinan membuat kejutan dengan menurunkan ‘senjata’ rahsianya yang baru bersama pasukan itu.




“Saya mungkin menggunakan Razali dan Zamri, tapi sebenarnya saya mempunyai seorang lagi penyerang yang baru didaftarkan iaitu Mohd Yusof (Zainal Abidin). Walaupun Yusof masih baru dalam pasukan ini, saya menilai permainannya sama seperti dengan penyerang lain dan juga mampu menyumbang kepada pasukan dalam perlawanan esok (malam ini),” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Jika berjaya mengatasi Terengganu pada baki 90 minit perlawanan hari ini, Sime Darby yang beraksi dalam Liga Perdana bakal melakar sejarah sebagai kelab pertama beraksi di pentas final Piala FA.


Namun pasukan yang mendapat jolokan ‘pembunuh gergasi’ itu sedar tugas mereka untuk menjinakkan juara bertahan kendalian Mat Zan Mat Aris bukan mudah.





“Setiap perlawanan berbeza dan yang penting adalah perlawanan esok,” katanya ketika ditanya mengenai kebangkitan prestasi Terengganu yang membelasah kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dalam saingan Piala AFC baru-baru ini.

“Saya tahu Terengganu akan menyerang habis-habisan tapi kami juga sudah bersedia dengan strategi tersendiri,” kata Ismail.




Sementara itu, Yusof, 26, yang sanggup meninggalkan tugasnya sebagai kerani bank untuk bersama Sime Darby, dia bersedia menggalas tugas jika diberikan peluang untuk perlawanan paling besar dalam karier singkatnya itu.

“Saya baru saja berlatih dengan pasukan ini, namun saya tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri. Saya mahu membalas kepercayaan diberikan Sime Darby,” katanya yang beraksi dalam Liga Kuala Lumpur sebelum ini dan juga finalis program realiti Soccer Star.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...