PENGENDALI Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang kembali tersenyum selepas anak buahnya membelasah kelab Vietnam, Song Lam Nghe An, Rabu lalu mengakui sudah menemui ramuan mujarab untuk membuat perhitungan dengan kelab Sime Darby pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.
Mat Zan berkata, meskipun kekalahan 1-2 di laman sendiri 21 April lalu memberi tamparan hebat tetapi dalam masa sama tetap percaya selaku penyang juara Piala FA, mereka tetap berpeluang melangkah ke final.
“Kejayaan menewaskan Song Lam Nghe An, 6-2 minggu lalu menjadi bukti resipi yang diterapkan menjadi dan saya berharap strategi itu yang dibantu penolong jurulatih, Khalid Mohd Dahan akan menjadi sekali lagi.
“Selain itu, kehadiran semula Ahmad Nordin Alias dan Reesyafiq Alwi yang berehat panjang selepas pembedahan mencerahkan peluang kami,” katanya yang mengakui kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk diturunkan terutama di bahagian tengah.
Menurutnya, biarpun skuadnya diaibkan di depan penyokong sendiri dalam perlawanan pertama, beliau sedikitpun tidak cemas atau berdepan tekanan dengan situasi itu.
“Berulang kali saya menekankan yang kita masih ada 90 minit dalam perlawanan kedua malam ini.
“Lagipun hampir semua pemain yang berada dalam skuad musim ini barisan sama yang muncul juara tahun lalu dan sudah tentu mereka mempunyai pengalaman bermain di peringkat ini.
“Sebab itu saya yakin dengan barisan pemain yang ada dan ditambah penyerang import Francis Forkey Doe yang bijak menghidu peluang, Terengganu mampu mengulangi pencapaian musim lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment