KUALA LUMPUR - Jika mencatat kejayaan kedua berturut-turut menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super malam ini, nasib Perlis mungkin berubah, namun jika ia sebaliknya sukar untuk digambarkan peluang mereka bagi musim depan.
Itulah yang dijelaskan oleh jurulatih, Janos Krecska yang menganggap perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, dianggap sebagai hari penentuan tatkala mereka masih menghuni tangga terbawah liga dengan hanya mencatatkan dua kemenangan daripada 18 perlawanan.
Menurut Krecska, kemenangan ke atas T-Team Jumaat lalu diharap terus membangkitkan semangat pemainnya dan semua perlu terus berfikir secara positif jika hendak melakukan kebangkitan mendadak.
"Saya berharap perlawanan esok (hari ini) menentang Kuala Lumpur kami mampu mencatat kemenangan, pemain juga bertambah yakin selepas menang 2-1 di gelanggang sendiri ketika bertemu T-Team, tatkala Kuala Lumpur tewas 0-4 kepada Terengganu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jelasnya, baki lapan perlawanan ini harus digunakan sebaik mungkin kerana jika mereka gagal meneruskan rentak kemenangan masalah besar bakal dihadapi mereka sedangkan penyokong masih lagi meletakkan harapan yang tinggi untuk Perlis bangkit.
"Ini memang perlawanan yang penting, saya juga mengharapkan pemain muda, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali terus mempamerkan rentak cemerlang dan menjadi pemusnah utama buat pasukan lawan, dia sememangnya seorang pemain berbakat," kata Krecska.
Ditanya sama ada ketua pasukan, Azmizi Azmi akan kekal beraksi di posisi baru iaitu pemain pertahanan tengah, dia berkata, berkemungkinan besar pemain yang terkenal dengan nama gelaran, Tibo itu akan terus beraksi di posisi tersebut.
No comments:
Post a Comment