Friday, June 17, 2011

Hadi penyerang tunggal hadapi Myanmar

KUALA LUMPUR - Penyerang yang semakin mencipta nama, Abdul Hadi Yahya menjadi sandaran tunggal Harimau Malaya pada bahagian serangan bagi menghadapi Myanmar dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammed IV, esok.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berkata, ini ekoran kecederaan yang dialami penyerang lain seperti Norshahrul Idlan Talaha, Shahrizal Saad, Ahmad Fakri Saarani dan S. Chanturu.

"Buat masa ini hanya tinggal satu penyerang sahaja yang boleh disenaraikan bagi berdepan Myanmar iaitu Abdul Hadi Yahya.

"Pemain pertahanan, Hisyamudin Sha'ari juga belum pulih.

"Saya cuba mencari kombinasi yang sesuai dengan pemain yang ada, selain melakukan eksperimen bagi mendapatkan taktikal bersesuaian.

"Mungkin selepas perlawanan dengan Myanmar nanti, saya akan fikirkan membawa satu atau dua penyerang baru ke dalam pasukan, namun ia bergantung kepada tahap kecederaan pemain yang ada dalam skuad sekarang, 
" katanya di Wisma FAM, semalam.

Rajagobal juga membayangkan skuad negara pasti kehilangan khidmat Norshahrul pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia bertemu Taiwan ekoran kecederaan urat pelipat lutut.

"Norshahrul mungkin tidak sempat pulih bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia," katanya.

Hadi, yang menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya dengan pasukan kebangsaan ketika menentang Hong Kong baru-baru ini, menjadi pilihan digandingkan dengan Safee Sali ketika bertemu Taiwan.

Bagi Hadi, dia sedia bermain dengan Safee kerana penyerang Pelita Jaya itu bukan asing buatnya.

"Saya pernah bersama Safee selama dua ke tiga tahun semasa bersama Selangor, jadi ia bukan satu masalah buat saya, " katanya.

Bagi perlawanan dengan Myanmar esok, Hadi yang meledak 16 gol bersama Terengganu mengakui tertekan tetapi berazam melakukan yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...