BIARPUN kerap kali menggemparkan 45,000 penonton tempatan dengan jaringan dan mengatur serangan sehingga mencetuskan gol pertama Harimau Malaya yang dijaringkan kapten Safiq Rahim - Abdul Hadi Yahya nyata kurang berpuas hati dengan prestasi dirinya.
Baginya, kecederaan yang dialami di bahagian otot belakang pinggul masih belum pulih sepenuhnya dan ia sedikit sebanyak mengekang pergerakan untuk merobek gawang Taiwan pada perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.
“Saya gembira kerana pasukan menang namun bagi saya malam ini, (kelmarin) saya beraksi agak kurang berkesan dan banyak peluang dilepaskan. Saya baru menjalani latihan dua hari sebelum perlawanan bertemu Taiwan kerana kecederaan ini.“Di Taiwan nanti (Ahad ini), saya rasa semua pemain ingin melakukan yang terbaik dan secara peribadi saya juga menyimpan hasrat yang sama andai sekali lagi diberi kepercayaan oleh jurulatih (Datuk K Rajagobal),” kata penyerang Terengganu itu.
Pemain 26 tahun itu optimis dengan kemampuan skuad Harimau Malaya untuk menang di laman lawan, seterusnya meniti ke pusingan kedua bertemu Singapura.
“Saya yakin kami boleh lepasi halangan pertama ini namun dalam masa sama, perlu berwaspada dan tidak boleh leka dengan lawan,” katanya.
Jjentera serangan Harimau Malaya turut disertai Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakri Saarani, Shahrizal Saad dan Safee Sali.
Skuad senior negara yang berada di ranking ke-144 FIFA membawa bekalan tipis 2-1 pada perlawanan timbal balik di laman lawan Ahad ini.
No comments:
Post a Comment