KETIKA jentera serangan seperti hilang sengat di tambah pula dengan berita buruk kecederaan menimpa Mohd Safee Sali, ketua jurulatih Datuk K Rajagobal mungkin terpaksa menagih khidmat penyerang lincah, Norshahrul Idlan Talaha pada aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia menentang Taiwan, Ahad ini.
Norshahrul penjaring terbanyak Liga Super musim ini tidak diturunkan ketika Malaysia merakam kemenangan tipis 2-1 ke atas Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin kerana baru pulih daripada kecederaan.
“Safee mengalami kecederaan dan dia tidak akan beraksi menentang Taiwan pada perlawanan kedua. Saya perlu memikirkan apa yang boleh dilakukan selepas ini, mungkin saya membuat dua atau tiga pertukaran.
“Saya akan menilai prestasi Norshahrul, jika dia dalam keadaan baik, saya mungkin turunkannya pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Pada perlawanan pertama, Rajagobal menggandingkan penyerang kelab Pelita Jaya FC, Safee bersama Baddrol Bakhtiar. Dua penyerang yang baru pulih daripada kecederaan, Abdul Hadi Yahaya dan Ahmad Fakri Saarani turut diberi peluang beraksi selepas Safee dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan kaki.
Ketika barisan serangan Harimau Malaya gagal memecah kebuntuan, pemain tengah yang juga kapten pasukan, Safiq Rahim dan pemain pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak muncul penyelamat dengan menyumbat gol di minit ke-28 dan m-54.
Namun skuad pelawat kendalian Lo Chih-Tsung berjaya membawa pulang satu gol berharga menerusi percubaan Chen P-Liang m-76 bagi membolehkan mereka menyamakan kedudukan agregat 2-2 untuk layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Menurut Rajagobal, beliau tidak bersetuju dengan pendapat pemainnya memandang rendah kemampuan Taiwan sehingga gagal mencatat kemenangan meyakinkan.
No comments:
Post a Comment