Saturday, July 2, 2011

Safee pasrah

“SAYA kecewa. Itulah ungkapan yang diluahkan ayam tambatan, Mohd Safee Sali selepas gagal beraksi cemerlang ketika Malaysia menewaskan Taiwan 2-1 pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 akibat kecederaan kelmarin.

Tambah memeritkan baginya apabila terpaksa menerima hakikat kecederaan di belakang lututnya itu bakal menghalangnya diturunkan bagi perlawanan kedua di gelanggang lawan Ahad ini.

“Saya tidak boleh meneruskan permainan kerana sakit di bahagian belakang lutut ini. Ia kecederaan yang sama dialami ketika berlatih sebelum perlawanan ini.

“Saya memang kecewa dan tidak puas hati dengan persembahan sendiri tapi apa boleh buat, kecederaan ini membataskan pergerakan saya,” katanya.

Penyerang Pelita Jaya FC yang mengukir nama ketika membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF lalu itu dilihat terhencot-hencot pada minit ke-40 sebelum digantikan dengan penyerang Ahmad Fakri Saarani pada babak kedua.

Kecederaan Safee itu menambah pening ketua jurulatih Datuk K Rajagobal yang sebelum ini terpaksa menurunkan pemain yang baru pulih daripada kecederaan, Abdul Hadi Yahaya dan Ahmad Fakri Saarani manakala penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Talaha diketepikan kerana belum berada di tahap terbaik.

Menurut Safee, tanpa kehadirannya Malaysia masih mampu mengatasi Taiwan pada perlawanan kedua untuk menempah pertemuan dengan Singapura di pusingan kelayakan seterusnya.

“Kita masih memiliki peluang baik untuk menewaskan Taiwan walaupun kelebihan kita tidak selesa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...