TAIWAN tidak mahu terlalu ghairah memburu gol dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Malaysia esok biarpun kini dalam kedudukan bahaya tersingkir selepas tumpas 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu lalu.
Menurut ketua jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung, anak buahnya akan turun beraksi tanpa sebarang tekanan dan mempamerkan permainan kemampuan mereka.
“Permainan kami sebenarnya lebih kepada bertahan kerana kami memiliki pemain pertahanan yang bagus dari segi fizikal. Kami akan bermain seperti biasa dan cuba menyerang jika mendapat peluang,” katanya.
Bagaimanapun, berdasarkan apa yang dipamerkan pemain Taiwan pada aksi pertama sebelum ini, bahagian serangan yang diterajui Lo Chih-En dan Chang Han beberapa kali berjaya mengancam kubu skuad kendalian Datuk K Rajagobal.
Malah mereka juga berjaya membuat kejutan dengan mencipta gol menerusi jaringan pemain tengah Chen Po-Liang sebagai bekalan pada aksi kedua di Stadium Perbandaran Taipei esok.
“Kami bermain secara menyerang sebelum ini untuk mengurangkan tekanan di bahagian pertahanan dan mengelakkan pintu gol kami dibolosi lebih banyak gol,” kata Po-Liang.
Katanya, yang penting pada perlawanan esok, barisan pertahanan akan merantai pergerakan tonggak utama Malaysia, Abdul Hadi Yahaya dan Mohd Safee Sali di bahagian serangan serta pemain sayap Mohd Amirulhadi Zainal dan S Kunanlan.
No comments:
Post a Comment