PENGURUS Perak, Khairul Azwan Harun berpuas hati dengan persembahan Seladang dalam dua perlawanan awal setakat ini, namun pada masa sama Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu yakin Perak mampu memberi persembahan lebih baik lagi.
Justeru, Khairul Azwan menuntut persembahan lebih baik daripada kesebelasan utama pasukan Kejor Yob Kejor terutama apabila turun menentang Negeri Sembilan di Ipoh, Sabtu ini.
“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan setakat ini. Begitupun saya tahu masih ada banyak yang mampu diberikan pemain. “Saya berharap mereka akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan nanti. Kebetulan mereka adalah pendahulu liga ketika ini dan perlawanan ini sudah tentu menarik minat ramai,” katanya.
Sehubungan itu Khairul Azwan juga berharap penyokong Seladang memainkan peranan mereka dengan hadir beramai-ramai untuk menyemarakkan semangat anak didik Norizan Bakar pada perlawanan itu.
Berdasarkan kehadiran memberangsangkan penonton pada perlawanan pertama ketika menentang Johor FC, beliau yakin kehadiran perlawanan dengan Negeri Sembilan itu akan meningkat.
“Pemain amat memerlukan sokongan peminat dan saya berharap mereka akan hadir beramai-ramai untuk membakar semangat pemain,” katanya.
Mengulas mengenai kadar jaringan rendah Seladang yang hanya menyumbatkan dua gol walaupun mencipta banyak peluang, pengurus itu yakin gandingan Muhammad Shafiq Jamal dan Akmal Rizal Ahmad Rakhili (gambar) mampu memainkan peranan sebagai penjaring gol berkesan.
“Saya yakin Cikgu Jan (Norizan) sedang berusaha menggilap ketajaman mereka bagi meningkatkan keupayaan jentera serangan pasukan dalam perlawanan akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment