KOTA BHARU - Kejayaan The Red Warriors mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super, cukup mengembirakan ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu meskipun barisan pemainya dipaksa bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan ketika melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin.
Menurutnya, kejayaan tersebut hasil kesungguhan barisan pemainnya yang berjaya mencipta peluang serta menjaringkan gol pada babak kedua, biarpun seakan-akan hilang pedoman pada separuh masa pertama.
"Saya gembira percaturan yang dilakukan pada babak kedua perlawanan menjadi di mana berjaya menghasilkan serangan, walaupun kelibat penggempur sensasi kita Norshahrul Idlan Talaha agak terbatas dalam perlawanan tersebut.
"Walaupun, Norshahrul dikawal ketat oleh tiga pemain Kuala Lumpur, namun aksi dua lagi rakannya iaitu Muhammad Ramzul Zahini dan Mohd Nizab jelas tidak mengecewakan di mana kedua-duanya menunjukkan satu permainan yang bagus," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Tambahnya, beliau turut memuji aksi barisan pemainnya yang menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan tersebut.
"Ini perlawanan kedua bagi Muhammad Ramzul dan saya fikir sudah ada peningkatan yang mula ditunjukkan oleh beliau," katanya.
Mengulas mengenai aksi yang dipamerkan oleh pemain sayap, Solehin Kanasian Abdullah yang beraksi di bawah tahap sebenar dan kemudian memasukkan pemain muda Mohd. Nizab Ayub, Karathu berkata:
"Mungkin faktor keletihan mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari memberi kesan kepada prestasi dia.
"Saya tidak bersedia menurunkan Mohd Nizab dalam kesebelasan utama kerana takut dia tidak mempunyai keyakinan untuk beraksi.
"Sementara bek kiri, Zairul Fitree terpaksa ketepikan kerana dia mengalami kecederaan ketika pertemuan menentang Johor FC tempohari," katanya.
No comments:
Post a Comment