Tanpa kelibat Mohd Khairul Ismail di posisi tengah, Abdul Rahman Zabul, Mohd Hamzani Omar, Mohd Izuan Jarudin dan Hasni Zaidi di benteng pertahanan yang cedera memaksa jurulatih skuad yang bergelar Lebah, Azuan Zain perlu mencari adunan terbaik untuk memastikan kesebelasan utamanya mampu mengimbang kekuatan skuad Cik Siti Wan Kembang itu.
Azuan yang mengambil alih tugas dari Ramlan Rashid selaku pembimbing skuad Lebah tampak dalam keadaan duka selepas mengharungi dua perlawanan hanya mampu meraih satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan dengan Felda United manakala tumpas 0-1 kepada Perak.
Senario itu meletakkan bekas pertahanan Johor itu dalam dilema selepas masih terkial-kial mencari barisan terbaik malah kegagalan penyerangnya terutama Wan Mohd Hoesne Wab Hassan dan pelatih skuad kebangsaan, Shahrizal Saad buntu untuk merobek gawang lawan.
“Saya akui Johor FC berdepan tugas rumit apabila menentang Kelantan yang memiliki reputasi tinggi terutama barisan pemainnya pasti tidak mahu beri laluan mudah kepada pemain saya untuk mencari kemenangan.
“Tanpa barisan pertahanan yang mantap, saya perlu mencari jalan terbaik untuk memperkukuh benteng pertahanan dan berharap Mat Saiful Mohamad mampu mengemudi posisi itu dengan baik bagi memastikan Kelantan tidak bermaharajalela.
“Barisan tengah Johor FC juga perlu diperkuatkan kerana Mohd Khairul sudah pasti tidak akan diturunkan dalam tempoh agak lama selepas menjalani pembedahan lutut, Selasa lalu dan kemungkinan Mohd Rashid Aya mengisi kekosongan bergandingan bersama Rezal Zambery Yahya,” katanya.
Beliau juga menegaskan betapa kelincahan bekas pemain Johor FC, Nurul Azwan Roya bakal menjadi duri dalam daging kerana mampu mencipta resah buat pertahanan skuad Lebah.
“Nurul Azwan walaupun bertubuh kecil namun kelibatnya cukup berbahaya malah mampu mengkucar-kacir benteng pertahanan Johor FC dan saya sudah mengarahkan pemain supaya berwaspada dengan larian pantasnya,” kata Azuan.
No comments:
Post a Comment