KUALA LUMPUR - Selepas namanya begitu tenggelam di arena bola sepak tempatan ketika mewakili Selangor, anak kepada Zainal Abidin Hassan, Mohd. Zaiza Zainal Abidin itu kini dilihat bagaikan ikon baru di pasukan Pahang.
Gol tunggalnya pada minit ke-4 sudah cukup memberikan kemenangan kedua buat skuad Tok Gajah di samping mengecewakan T-Team yang terus kempunan mencapai kemenangan pertama.
Walaupun, masih terlalu awal untuk menyatakan Zaiza akan terus cemerlang namun kelibatnya dalam empat perlawanan setakat ini menunjukkan dia mampu mengikut jejak langkah ayahnya yang satu ketika dahulu merupakan salah seorang ikon skuad Pahang.
Buat Zaiza, jaringan pertama dengan Pahang jelas hadir tepat pada masanya di samping membantu pasukannya kembali mencapai rentak kemenangan selepas kalah dalam dua perlawanan terakhir.
''Jaringan saya semalam ditujukan kepada para peminat setia Pahang yang sentiasa di belakang pasukan. Apa yang pasti, kemenangan ini memberikan nafas baru kepada rakan sepasukan dalam mengharungi cabaran Liga Super.
''Kami kini kembali mendapat keyakinan selepas kecewa kalah kepada Felda pada perlawanan terakhir dan saya yakin boleh membantu Pahang mencapai kedudukan yang lebih baik di liga berbanding musim lalu, " ujarnya.
Pada tahun lepas, Pahang sekadar menamatkan cabaran di tangga kelapan daripada 14 pasukan dan tersekat pada saingan suku akhir Piala Malaysia di tangan Johor FC..
No comments:
Post a Comment