KUANTAN - Tiada alasan buat Pahang untuk tidak mampu menewaskan Sabah dalam saingan kalah mati Piala FA di Stadium Darul Makmur malam ini kerana skuad Tok Gajah memiliki kelebihan terbaik untuk menang apabila bermain di gelanggang sendiri.
Kejayaan menewaskan T-Team 1-0 dalam Liga Super Selasa lalu memberi keyakinan tambahan kepada Pahang.
Pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh berkata, keyakinan yang dilaungkan adalah bersandarkan prestasi anak-anak buahnya yang semakin serasi, terutama beraksi di laman sendiri.
Katanya lagi, Dollah Salleh pasti mempunyai resepi tersendiri bagi mengelak prestasi 'yo yo' pemainnya.
"Kita perlu menang kerana sistem kalah mati dalam saingan Piala FA menyebabkan kita tidak punya pilihan kecuali menewaskan Sabah malam esok.
''Malah saya percaya dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan kejayaan mengutip tiga mata penuh ketika menewaskan T-Team membuktikan Pahang boleh melepasi pusingan ini," katanya.
Pengurus Pahang itu berpuas hati dengan aksi keseluruhan anak buahnya dan ini terbukti dengan penguasaan Pahang dalam empat perlawanan terdahulu.
Che Nasir berharap jentera serangan yang diterajui R. Surendran, Jaluddin Jaafar dan Mohd. Faizol Hussin sedia menggalas cabaran merobek gawang Sabah, manakala Zaiza Zainal bertindak sebagai pembantu di bahagian tengah.
Menurutnya, Zaiza yang masih segar dengan kejayaan menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan T-Team mampu mencipta nama sebagai penjaring walaupun bermain di bahagian tengah.
Bagaimanapun Che Nasir berharap anak bekas penyerang kebangsan, Zainal Abidin Hassan itu dapat cergas sepenuhnya menjelang perlawanan selepas dibelenggu kecederaan ringan di bahagian kaki.
No comments:
Post a Comment