T-Team akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila membelasah Perlis 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.
Pasukan kendalian Yunus Alif itu bijak menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila mendahului seawal minit ke tiga melalui jaringan Khairul Izwan khalid.
Tujuh minit kemudian, gawang pelawat yang dikemudi Hairol Fazreen bolos lagi, kali ini menerusi rembatan Badrul Hisani Abd Rahman.
Pada minit ke-13, Perlis dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose, namun sepakan yang diambil Faiz Subri sekadar terkena tiang gol.
Pada separuh masa kedua, T-Team kembali melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya, Khairul Izwan berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-59.
T-Team berpeluang menambah gol keempat pada minit ke-89, namun percubaan Norfarhan Mohammad dari luar kotak penalti sekadar terkena tiang gol.
Bagaimanapun, kemenangan sulung yang dicatat pada aksi semalam membolehkan T-Team mengumpul empat mata daripada lima perlawanan.
No comments:
Post a Comment