SKUAD Terengganu kendalian jurulatih Irfan Bakti Abu Salim dijangka tidak menghadapi masalah menewaskan USM dalam pentas Piala FA malam ini, walaupun bertandang ke gelanggang lawan.
Namun, penyerang berbisa Terengganu, Manaf Mamat, menganggap pertemuan itu tidak mudah kerana barisan Penyu belum mengetahui rentak permainan pasukan tuan rumah yang rata-rata dibarisi pemain muda.
Selain itu, pemain berusia 24 tahun itu turut mengaku pasukan yang bertanding dalam pentas Liga M turut mempunyai azam dan kelebihan tersendiri untuk memburu kejayaan lebih-lebih lagi skuad USM dipilih sebagai tuan rumah pada pertemuan itu.
“Saya harap pemain yang bakal diturunkan mampu memikul tanggungjawab dengan berkesan bagi mencatat kemenangan dan layak ke pusingan kedua kerana format pertandingan kali ini pusingan awal tidak ada perlawanan timbal balik. “Selain mengingatkan diri sendiri, saya turut harap rakan sepasukan tidak memandang rendah keupayaan lawan walaupun sedar barisan lawan kurang berpengalaman di pentas Liga M selain dibarisi pemain muda.
“Bagi saya, keupayaan lawan belum diketahui. Yang penting rakan sepasukan perlu bersedia,” katanya.
Sementara itu, kapten Terengganu, Marzuki Yusof, mengingatkan rakan sepasukan terutama barisan hadapan memperagakan persembahan mantap selain mengambil kesempatan terbaik ketika di depan pintu gol lawan.
“Sebarang kealpaan bakal membawa padah kerana lawan juga mempunyai kelebihan dan strategi tersendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment