BIARPUN terpaksa menyaksikan aksi anak buahnya dari bangku penonton, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail nyata gembira dengan kejayaan pasukan mencuri satu mata dari Selangor, kelmarin yang disifatkannya mencapai sasaran ditetapkan.
Razip yang tidak dibenarkan menyertai pemain di bangku simpanan disebabkan larangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana masih terikat dengan majikannya berkata, skuadnya hanya mensasarkan satu mata pada perlawanan itu kerana menyedari Selangor memang handal di gelanggang sendiri.
“Buat pertama kali dalam tempoh beberapa tahun kita berjaya meraih mata menentang Selangor di Stadium Shah Alam. Memang saya sangat berpuas hati dengan pencapaian ini,” katanya.
Razip berkata, walaupun mencatat keputusan seri 1-1, Kuala Lumpur sebenarnya berpeluang mencari kemenangan apabila dihidangkan dengan beberapa peluang terutama pada babak kedua, namun penyudah kurang berkesan memaksa mereka pulang pulang dengan satu mata berharga itu.
Menurut Razip dia berbangga dengan prestasi anak buahnya yang masih belum tewas dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini walaupun mengakui perjalanan masih jauh dan banyak kelemahan yang masih perlu diperbaiki.
“Saya sudah ingatkan pemain supaya tingkatkan lagi prestasi untuk menghadapi laluan lebih berliku pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment