HILANG konsentrasi dan keletihan adalah punca Harimau Muda A terpaksa berkongsi satu mata apabila seri 1-1 ketika menentang Felda United, di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Jurulatihnya, Ong Kim Swee bagaimanapun berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya.
Katanya, walaupun bermain dalam keletihan, pemain masih mampu bermain baik dan mengikut setiap arahan yang diberikan.
“Pada perlawanan itu, saya membuat beberapa perubahan kepada pasukan dengan merehatkan empat pemain yang beraksi menentang Pakistan baru-baru ini.
“Semuanya berjalan dengan baik sehinggalah kita memberikan tendangan penalti kepada pihak lawan,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda A terlebih dahulu berada di depan melalui jaringan bintang skuad Olimpik, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-46.
Bagaimanapun, pada minit ke-67 Liew Kit Kong menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti setelah S. Sivanesan menjatuhkan Farderin Kadir di dalam kotak penalti.
Keputusan seri itu meletakkan skuad bimbingan Kim Swee di tangga keempat liga dengan mengumpul lapan mata, manakala Felda United yang merupakan juara Liga Perdana musim lalu berada di tangga ketujuh.
Sementara itu, menjelang pertemuan Harimau Muda A menentang Perak di tempat lawan malam esok, Kim Swee mahu pemainnya membaiki kelemahan dan tidak terikut-ikut rentak permainan lawan.
“Perak merupakan sebuah pasukan yang baik, tambahan pula mereka belum pernah tewas setakat ini.
“Oleh itu, saya harap pemain dapat mempamerkan permainan sebenar mereka.
“Kalau bagus, saya akan senaraikan mereka ke dalam skuad Olimpik,” katanya.
No comments:
Post a Comment