“SAYA mohon maaf kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kerana membuat kenyataan tanpa usul periksa,” kata bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menghubungi Arena semalam.
Akmal yang kini mewakili Perak berkata dia menyesal mengeluarkan kenyataan terburu-buru selepas mendapat berita semua pemain Kelantan mendapat bonus selepas skuad The Red Worrior muncul juara Piala Malaysia musim lalu.
“Saya tidak berniat menyinggung mana-mana pihak, baik persatuan apa lagi Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang banyak membantu selama ini. Saya benar-benar memohon maaf dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata Akmal mengakui kesalahannya.
Semalam, Arena menyiarkan kenyataan Annuar Musa yang mahu Akmal memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan mengenai pembayaran bonus yang belum diterimanya atau Kafa akan mengambil tindakan ke atas pemain itu.
“Saya sepatutnya menghubungi Kafa terlebih dulu sebelum membuat kenyataan media tapi terbawa-bawa dengan emosi ketika itu sekali lagi saya mohon maaf kepada Tan Sri, Kafa dan peminat The Red Warriors.
“Saya harap Kafa tidak mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan kerana saya akui memang saya bersalah dalam soal ini,” kata Akmal lagi.
Akmal hanya semusim mewakili Kelantan tampil dalam 16 perlawanan dan menjaringkan tiga gol musim lalu.
No comments:
Post a Comment