Monday, February 28, 2011

Belum boleh dabik dada

KETUA jurulatih Perak, Norizan Bakar tetap mengamalkan sikap merendah diri biarpun anak buahnya pulang dari Kuantan dengan mengutip mata penuh selepas menundukkan Pahang, 2-0 pada saingan Liga Super, malam kelmarin.


Malah, kejayaan yang sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah anak buahnya itu selepas lima perlawanan membuatkan jurulatih itu mengutarakan madah berhemah kerana tidak mahu dianggap riak dan takbur.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan kejayaan ini. Begitupun ini bukan bererti kami sudah boleh mendabik dada kerana mempunyai perjalanan yang masih jauh dan berliku. Pemain perlu terus bekerja kuat.


“Apapun, kejayaan ini pasti menjadi pendorong semangat pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan saya harap mereka mampu mengulanginya,” katanya.

Pada perlawanan itu, gol-gol Perak disumbang Shafiq Jamal dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada babak pertama. Pahang cuba bangkit pada babak kedua dalam usaha mencari gol penyamaan tetapi pelawat berjaya bertahan hingga ke wisel penamat.


Jurulatih yang lebih dikenali sebagai Cikgu Jan itu berkata, kejayaan Perak adalah kerana pemain berjaya mengekalkan bentuk serta melaksanakan taktikal disiplin pasukan yang direncanakan.




“Setiap pemain bermain dengan baik serta menunjukkan kesungguhan tinggi pada perlawanan itu. Masing-masing memainkan peranan mereka dengan berkesan,” katanya.

Begitupun, kejayaan itu tidak mudah buat Perak yang terpaksa membayar dengan kecederaan dan layangan kad kuning buat pemain utama yang mungkin tidak dapat turun beraksi menentang Harimau Muda, malam esok.




“Setakat ini saya tidak tahu status mereka. Saya akan membuat semakan apabila kami mengadakan latihan esok (hari Ini). saya mempunyai 48 jam untuk membuat perancangan bagi perlawanan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...