Thursday, February 17, 2011

Irfan berang aksi hambar anak buah

SHAH ALAM - Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berang dengan persembahan pasukannya biarpun berjaya bangkit dari ketinggalan tiga gol dalam kekalahan 2-3 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Menurut Irfan Bakti, kekalahan pertama skuad Penyu selepas empat perlawanan Liga Super itu berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan sehingga mudah dirobek dari kedua-dua belah sayap lawan.

"Persembahan malam ini, saya rasa tidak baik. Hanya 30 minit terakhir saja baik. Separuh masa pertama memang kami dikalahkan sepenuhnya. Saya tengok pemain-pemain saya tidak agresif dan terlalu memberi ruang.

"Kalau pemain No. 19 bek kanan (D. Surendren) boleh buat larian overlap tiga, empat kali yang mana dalam perlawanan sebelum ini ketika menentang Kuala Lumpur pergerakan dia terbatas di garisan tengah... sesuatu yang tidak kena, permainan malam ini amat buruk. Mereka harus perbaiki prestasi," ujar pengendali kelahiran Kelantan itu.

Dalam perlawanan mendebarkan kelmarin, jaringan Mohd. Fadzli Saari, Mohd. Amri Yahyah dan Azidan Saruddin membolehkan Selangor selesa mendahului 3-0 namun Terengganu bangkit menerusi jaringan Ashaari Samsudin dan Abdul Hadi Yahya untuk merapatkan jurang.
Berbeza dengan rakan sejawatnya, pengendali Red Giants, K.Devan pula tidak menyalahkan anak buahnya berhubung dua gol yang dibolosi pada lewat perlawanan.

Jelasnya, ia berlaku kerana para pemain mengalami kepenatan pada babak akhir permainan, sekaligus memberikan ruang untuk lawan bangkit.
"Pemain-pemain saya mengalami masalah kecergasan. Azidan dan Bunyamin (Umar), kedua-dua mereka baru pulih daripada kecederaan dan masih belum cergas sepenuhnya.

"Dan percaturan saya meletakkan Hardi bermain di sayap daripada posisi tetapnya di tengah, jadi dia pun agak keletihan menjelang akhir permainan," katanya.

Menurut Devan, seandainya beberapa peluang yang dicipta pada separuh masa pertama dimanfaatkan, maka Selangor sepatutnya mampu menang besar dan mematikan terus semangat juang skuad Penyu.

Dengan kemenangan itu, Devan yakin pasukannya akan terus beraksi mantap dalam perlawanan akan akan datang.

"Saya yakin pada keupayaan pemain-pemain saya. Malam ini mereka buktikan tanpa Safee (Sali), kita tetap mampu mempamerkan persembahan cemerlang terutamanya di bahagian serangan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...